Kerjasama antara Social Takaful Fund (STF) IBS UUM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak tahun 2024 menerusi penganjuran program kesedaran perancangan persaraan di kalangan staf, pelajar dan masyarakat mendapat pengiktirafan dari KWSP Wilayah Utara. Universiti Utara Malaysia (UUM) serta anak syarikat UUM Property Sdn Bhd (UPSB) menerima anugerah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Negeri Kedah pada Majlis Pengiktirafan Majikan Terbaik 2025.
Anugerah Majikan Terbaik Kategori 500-1000 pekerja diberikan kepada UUM bagi menghargai kerjasama UUM-KWSP manakala Anugerah Majikan Voluntary Excess Tertinggi diberikan kepada UPSB atas komitmen tinggi staf dalam caruman KWSP. Majlis yang diadakan di Hotel Park Avenue Sungai Petani pada 22 Oktober 2025 dirasmikan oleh En Jeffary Mohamed Isa, Pengarah KWSP Wilayah Utara serta dihadiri oleh Yang Berbahagia Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mewakili Universiti Utara Malaysia dan Pengurus Besar, En Ahmad Yani Kasim mewakili UPSB.
KWSP dan UUM menerusi Social Takaful Fund (STF) IBS UUM telah menjalinkan kerjasama dalam penganjuran bengkel perancangan persaraan kepada hampir 1,200 pelajar dan staf di dalam kampus sejak tahun 2024. Program ini juga diperluaskan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta komuniti di seluruh Kedah bagi memastikan kempen kesedaran kewangan ini dapat mencapai matlamatnya.
Social Takaful Fund (STF) dan UPSB menjalinkan kerjasama dengan KWSP dalam memberi kesedaran perancangan persaraan kepada 470 staf UPSB pada Mei 2025. Program ini berjaya mendaftarkan 70 peserta FWD Takaful I-Lindung serta lebih 100 staf yang membuat penambahan caruman sukarela hingga menobatkan UPSB untuk menerima Anugerah Majikan Voluntary Excess Tertinggi bagi tahun 2025.
#socialtakafulfund
#stfeducationalempowerment
#stfcommunityengagement