Bengkel Focus Group Discussion (FGD) diteruskan untuk siri ke 2 dan telah dilaksanakan bersama pihak ibu bapa yang mempunyai anak berstatus kelainan upaya pada 14 Oktober 2023 di Hotel EDC UUM. Bengkel yang diketuai oleh Dr Noraini Yusuff dan ahli penyelidik UUM bagi geran Dana Sosial Takaful ini membincangkan berkenaan tahap keterbatasan setiap anak-anak, kesedaran ibu bapa berkenaan produk-produk takaful atau insurans untuk anak kelainan upaya, kepentingan takaful buat anak-anak, keperluan-keperluan yang perlu ada dalam setiap takaful dan juga harga mampu milik takaful bagi ibu bapa.
Hasil perbincangan mendapati bahawa kebanyakan ibu bapa mempunyai pengetahuan asas berkenaan takaful tetapi tidak tahu berkenaan kewujudan produk takaful buat anak-anak kelainan upaya. Mereka berharap pengendali takaful dapat menawarkan harga yang mampu milik khasnya bagi produk takaful perubatan kerana mereka juga menampung kos yang tinggi untuk menghantar anak-anak ke pusat terapi swasta.